Wednesday, December 22, 2010

Rintitan perjalan 2010

Amah Durjana Bakar Rumah Majikan, Larikan RM500



Pembantu rumah warga Indonesia yang dikenali sebagai Dinda (kiri) ditahan pegawai polis selepas disyaki membakar rumah majikannya sebelum melarikan diri bersama wang tunai lebih RM500 dan dua buah komputer di Taman Murni Indah, Telaga Daing dekat Kuala Terengganu hari ini. - foto BERNAMA


KUALA TERENGGANU: Tiada yang lebih memeranjatkan bagi Intan Zunaidah Abdul Wahab, 40, hari ini selain mendapati pembantu rumah yang disayangi umpama menatang minyak yang penuh rupanya remaja durjana sehingga sanggup membakar rumahnya.

Lebih teruk lagi dalam kejadian kira-kira pukul 10.30 pagi itu amah yang baru berusia berusia 14 tahun dari Palembang, Indonesia itu dipercayai membakar bilik tidur anak majikannya dan bahagian dapur rumah tersebut sebelum melarikan diri melalui pintu belakang bersama wang tunai lebih RM500 dan dua buah komputer dalam satu kejadian di Taman Murni Indah, Telaga Daing dekat sini pagi ini.

Bagaimanpun dia yang dikenali sebagai Dinda, berjaya ditahan oleh adik majikannya Zulkarnain Abd Wahab, 35, di Stesen Bas Majlis Perbandaran Kuala Terengganu (MPKT) lebih sejam kemudian ketika cuba melarikan diri dengan membeli tiket bas ke Kuala Lumpur.

Majikannya Intan berkata, beliau tidak menyangka pembantu rumah yang dilayan seperti anak sendiri itu sanggup berbuat demikian memandangkan sebelum ini hubungan mereka tidak pernah mempunyai masalah.

"Saya terkejut apabila dihubungi oleh suami pagi tadi mengatakan rumah teres kami terbakar dan perkara pertama yang saya lakukan ialah meminta mereka memecah pintu rumah kerana pembantu rumah kami berada di dalam.

"Bertambah terkejut apabila saya dimaklumkan dia tiada dalam rumah ketika jiran berjaya masuk ke dalam rumah untuk memadamkan kebakaran dan dipercayai telah melarikan diri setelah membakar rumah kami," katanya kepada pemberita ketika ditemui di tempat kejadian.

Ketika kejadian, beliau berada di sekolah anak perempuan bongsunya yang berusia 13 tahun di Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman II untuk menghadiri program penyampaian hadiah kecemerlangan UPSR, manakala suaminya Mazli Mohamed, 49, berada di tempat kerja.

Menurut Intan Zunaidah, pembantu rumah itu pada asalnya diupah oleh rakan adiknya, namun disebabkan terlalu muda, dia telah diserahkan kepada Zulkarnain sebelum proses penghantaran semula ke Indonesia dilakukan oleh ejen.

"Semasa dua minggu duduk dengan adik saya, dia pernah buat hal dan cuba melarikan diri setelah mencuri wang tunai RM7,000 menyebabkan adik saya menyerahkannya kepada saya Disember lepas sebelum ejen mengambilnya.

"Sepanjang sebulan duduk dengan bersama, kami sekeluarga melayannya dengan baik, malah saya menganggapnya sebagai anak sendiri kerana umurnya tidak jauh beza daripada anak bongsu saya, malah mereka juga tidur bersama," katanya.

Katanya kejadian itu menyebabkan barang-barang dalam bilik tidur anaknya termasuk sijil persekolahan habis terbakar selain jelaga hitam yang memenuhi rumahnya.

"Paling saya sedih kerana dia sanggup mencuri wang anak bongsu yang dikumpul sejak darjah satu lagi hasil kecemerlangannya dalam pelajaran," katanya.

Pembantu pembantu rumah itu kemudian dibawa menaiki kereta peronda ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Terengganu untuk siasatan lanjut.

Sementara itu, Pegawai Kanan Bomba Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu Kamal Md Tan berkata ketika sampai di tempat kejadian kirakira 10.52 pagi, kebakaran telah pun berjaya dipadamkan oleh orang awam.

"Tiga jentera kereta bomba bersama tiga pegawai dan 22 angota telah bergegas ke tempat kejadian sebaik menerima laporan dan sebaik tiba di tempat kejadian api telah berjaya dikawal dan kita hanya membantu memadamkan sisasisa bara.

"Kebakaran berpunca dari bilik tidur dan bahagian dapur yang dipercayai sengaja dilakukan dan jumlah kerugian dianggar bernilai RM115,000," katanya. - BERNAMA
...................................................................................................................................


Di awal tahun 2010, tanpa diduga keluarga kami telah dilanda musibah. Pembantu rumah yang umurnya baru mencecah 13 tahun, telah kami tumpangkan atas dasar kemanusiaan sementara menunggu tarikh untuk dihantar pulang.Segala kebaikan dan kasih sayang yang kami hulurkan telah dibalas dengan kecelakaan. Rumah kami dibakar dan dia sempat melarikan wang sebanyak 600 ringgit yang dikumpul oleh ank bongsu kami  hasil daripada kejayaannya.. Dia juga telah melarikan dua buah laptop milik kedua-dua anak kami..Kesalahan membakar rumah dan mencuri barang milik majikan, tidak diberi hukuman yang setimpalnya. Ucap kata dari saya pada semua yang telah tersalah anggap terhadap kami sekeluarga,dengan ini kami bersumpah bahawa sesungguhnya tiada sekelumit pun perbuatan kami menyalahi undang-undang di dunia dan di akhirat terhadap pembantu rumah yang telah mengkhianati kami sekeluarga ini..
bak kata pepatah`di beri susu, di balas tuba`